Advertisement

Latest News

Kandungan akuan bersumpah Raja Petra masih disiasat

By KopiO - Jumaat, 17 Jun 2011

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap kandungan akuan bersumpah pengendali blog Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin, masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, polis sudah merakam percakapan semua individu disebut oleh Raja Petra dalam akuan bersumpahnya pada 18 Jun 2008.

“Semua mereka termasuk Raja Petra dan pegawai perisikan angkatan tentera itu, kita sudah ambil keterangan mereka,” katanya di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya dalam proses mengumpul maklumat untuk melengkapkan kertas siasatan kes itu, sebelum dihantar kepada pihak Peguam Negara.

Pada 14 April lalu, media melaporkan, Raja Petra mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu berdasarkan maklumat serta desakan beberapa individu bertujuan menyekat Najib daripada menjadi Perdana Menteri.

Dalam akuan bersumpah itu, Raja Petra menyebut nama beberapa individu didakwa memberikan maklumat berkenaan antaranya penulis blog, Din Merican, Nik Azmi Nik Daud, John Pang dan pegawai perisikan angkatan tentera, Leftenan Kolonel Azmi Zainal Abidin.

Sementara itu, Khalid berkata, bermula 13 Jun lalu, pihaknya menganjurkan seminar khas untuk ketua polis daerah di seluruh negara di Maktab PDRM, di sini.

Seminar itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan pegawai kanan polis berkenaan supaya mereka lebih peka dengan pindaan undang-undang dan perkembangan semasa. -SH

Follow our blog on Twitter, become a fan on Facebook. Stay updated via RSS

0 ulasan for "Kandungan akuan bersumpah Raja Petra masih disiasat"

Leave a Reply

Advertisement