Liga Juara-Juara: Man Utd bangkit, Chelsea lonjak tangga teratas, Barcelona tewas

Robin Van Persie selepas menjaringkan gol pertama Man Utd dalam perlawanan menentang Braga di Stadium Braga Municipal.
Manchester United bangkit dari ketinggalan untuk kemenangan 3-1 ke atas Braga di tempat lawan, Stadium Braga Municipal dalam aksi Liga Juara-Juara musim ini. Kemenangan itu mengesahkan Man Utd mara ke pusingan kalah mati selepas menang dalam empat perlawanan.

Braga memperolehi gol pendahuluan menerusi sepakan penalti di minit ke-49 dan kelihatan hampir mencipta kemenangan namun Man Utd bangkit di sepuluh minit terakhir melalui jaringan Robin Van Persie di minit ke-80.

Empat minit kemudian, Wayne Rooney meletak Man Utd di depan sebelum Javier Hernandez menambah jaringan kemenangan bergaya di minit ke-90.

Man Utd terus menguasai tangga teratas kumpulan H dengan kutipan 12 mata.

Wakil Sepanyol, Barcelona gagal meneruskan rentak kemenangan selepas mengalami kekalahan sulung kejohanan musim ini apabila tewas 1-2 kepada Celtic dalam aksi kumpulan G di Celtic Park.

Tuan rumah berada selesa di depan apabila Victor Wanyama menjaringkan gol awal di minit ke-21 sebelum Tony Watt mengukuhkan kedudukan pada minit ke-83.

Manakala Barcelona mendapat gol saguhati melalui penyerang sensasinya, Lionel Messi di minit kecederaan

Namun Barcelona masih lagi kekal mendahului kumpulan dengan kutipan 9 mata di hadapan Celtic dengan 7 mata.

Chelsea melonjak ke tangga teratas kumpulan E dengan kutipan 7 mata selepas menewaskan Shakhtar Donetsk 3-2 di laman sendiri. Fernando Torres membuka jaringan tuan rumah di awal minit ke-6 sebelum Shakhtar menyamakan kedudukan menerusi Willian tiga minit kemudian.

Oscar berjaya meletak Chelsea kembali di depan pada minit ke-40 namun sekali lagi Willian menyamakan kedudukan 7 minit selepas itu.

Victor Moses menjadi hero Chelsea selepas memberi gol kemenangan buat tuan rumah apabila memperolehi gol di minit kecederaan.

Berikut adalah keputusan lain-lain perlawanan:

Benfica [2]  vs  [0] Spartak Moscow

CFR Cluj [1]  vs  [3] Galatasaray

Juventus [4]  vs  [0] Nordsjaelland

Bayern Munich [6]  vs  [1] Lille

Valencia [4]  vs  [2] BATE Borisov

-Hariankini.com
Post a Comment (0)
Previous Post Next Post