FIFA: Tiga Keputusan Perlawanan Antarabangsa Malaysia Dibatalkan


Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan tindakan oleh FIFA selepas didapati menurunkan pemain yang tidak layak dalam beberapa perlawanan antarabangsa Tier 1.

Akibat keputusan Jawatankuasa Disiplin FIFA, tiga perlawanan skuad kebangsaan telah ditukar kepada kekalahan 3-0. Perlawanan terlibat ialah aksi menentang Cape Verde (29 Mei), Singapura (4 September) dan Palestin (8 September), yang sebelum ini berakhir dengan satu keputusan seri dan dua kemenangan buat Malaysia.

FAM turut didenda sebanyak CHF10,000, bersamaan kira-kira RM51,000, atas pelanggaran Artikel 19 Kod Disiplin FIFA Edisi 2025 berkaitan kelayakan pemain.

Dalam kenyataan ringkas, FAM memaklumkan akan mendapatkan alasan penuh keputusan tersebut sebelum menentukan tindakan lanjut.

Untuk makluman, kes ini berasingan daripada isu tujuh pemain warisan sebelum ini, yang menyaksikan FAM didenda sekitar RM1.8 juta dan pemain terlibat digantung selama 12 bulan. Kes terdahulu itu kini masih dalam proses rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post