Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menyatakan sokongan terbuka terhadap keputusan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Afnan memuji pendirian Dr Akmal yang disifatkan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan politik.
“Tahniah brother atas prinsip!
Kita sama-sama lawan DAP!
You Never Walk Alone,” tulis beliau.
Kenyataan ringkas itu dilihat membawa mesej politik yang jelas, khususnya berkaitan penolakan terhadap kerjasama dengan DAP, selari dengan pendirian konsisten Pemuda PAS sebelum ini.
Perletakan jawatan Dr Akmal sebelum ini dilaporkan dibuat bagi memberi tumpuan kepada perjuangan parti dan suara akar umbi, langkah yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam landskap politik semasa.
Sokongan terbuka Pemuda PAS itu sekali gus memperlihatkan wujud kesamaan pendirian dalam kalangan pemimpin muda parti-parti Melayu Islam, khususnya dalam isu melibatkan hala tuju politik dan kerjasama dalam kerajaan.
