Perang Umno-DAP, serius atau sekadar drama politik?


Isu hangat tercetus dalam kerajaan Madani selepas Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin, memuat naik hantaran berbunyi “Another reason to celebrate this year end” sambil berkongsi pautan berita bertajuk “No house arrest for Najib”. Hantaran itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung pelaksanaan Titah Adendum bagi menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Hantaran tersebut nyata mengundang reaksi keras daripada pemimpin UMNO yang menyifatkannya sebagai tidak sensitif dan keterlaluan. Beberapa pemimpin UMNO meluahkan rasa tidak puas hati secara terbuka di media sosial.

Antaranya, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang memuat naik status Facebook berbunyi:

“Saya pun tunggu nak celebrate apabila Mahkamah merasmikan Terowong Pulau Pinang, mungkin pertengahan tahun 2026.”

Kenyataan itu kemudian dibalas oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang menyindir melalui Facebook:

“Macam mana nak rasmikan Terowong Pulau Pinang pada pertengahan tahun 2026 bila satu sen pun tak dibayar? Hanya Mat Jenin boleh dapat terowong percuma.”

Berbalas sindiran terbuka antara dua pemimpin parti utama dalam kerajaan Madani itu dilihat semakin ‘memanaskan’ suasana politik, khususnya di media sosial. Malah, ada kenyataan yang seakan-akan memberi bayangan ugutan untuk keluar daripada pakatan kerajaan.


Namun sehingga kini, tiada sebarang tindakan konkrit diambil, ‘perang status’ itu kekal di alam maya.

Persoalannya, adakah ini benar-benar krisis dalaman yang serius atau sekadar drama politik untuk meredakan tekanan isu lain? Sejauh mana kesediaan UMNO untuk kehilangan beberapa jawatan menteri dalam kabinet Madani, dan adakah mereka benar-benar sanggup kembali menjadi pembangkang?

Atau semua ini sekadar bising sekejap, sebelum reda seperti biasa?

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post