FIFA mengekalkan semua hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh 'pemain warisan' yang didapati menggunakan dokumen palsu bagi tujuan kelayakan Piala Asia 2027 pasukan kebangsaan. Dalam keputusan rasmi yang dikeluarkan pada Selasa (18 Nov), jawatankuasa rayuan FIFA menegaskan bahawa pemalsuan dokumen adalah “ancaman besar kepada integriti bola sepak antarabangsa”.
Menurut FIFA, cubaan menipu badan pengelola bola sepak dunia melalui dokumen palsu tidak boleh diterima sama sekali kerana peraturan kelayakan pemain adalah asas kepada keadilan dan kredibiliti sukan.
Keputusan rayuan ini juga mengesahkan bahawa tiada sebab untuk membatalkan tindakan disiplin yang diputuskan pada 25 September lalu. Malah, FIFA kini mengarahkan satu siasatan penuh terhadap operasi dalaman FAM bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta menilai tahap tadbir urus badan itu.
Siasatan akan menumpukan kepada peranan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, serta dua ejen berlesen FIFA — Nicolás Puppo dan Frederico Moraes. FIFA turut membuka inkuiri berasingan berhubung penggunaan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan.
Disebabkan isu pemalsuan dokumen melibatkan aspek jenayah, FIFA juga meminta pihak berkuasa di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya perlu.
