Ahmad Said Sahkan Tuntutan Kerajaan Terengganu Terhadap FELDA Adalah Betul


“Kita mengakui menjelaskan kepada ahli dewan bahawa FELDA menjalankan pembangunan secara haram,” tegas bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengulas tindakan terbaru kerajaan negeri terhadap tanah yang diterokai agensi tersebut.

Menurut beliau, isu itu bukan perkara baharu kerana kerajaan negeri sudah lama menegur kegagalan FELDA mematuhi syarat, termasuk tidak memasukkan peneroka dalam pembangunan ladang seluas kira-kira 15,000 hektar yang diusahakan FGV di Marang, Setiu, Kemaman dan Dungun.

Ahmad menjelaskan bahawa walaupun FELDA pernah membuat bayaran premium sekitar 2009, kerajaan negeri terpaksa memulangkannya kerana syarat utama iaitu penyertaan lebih 3,000 peneroka bagi membantu rakyat miskin tidak dipenuhi. Selagi geran hak milik tidak dikeluarkan, tanah berkenaan kekal sebagai milik kerajaan negeri.

Tindakan kerajaan Terengganu memasang notis pencerobohan tanah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara minggu lalu turut disifatkan sebagai langkah wajar, kerana FELDA juga gagal memberi maklum balas berhubung tuntutan perkongsian hasil sebanyak 30 peratus yang dianggarkan mencecah RM600 juta sejak 40 tahun lalu.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri pernah menawarkan syarat tambahan, termasuk memberi peluang kepada anak syarikat kerajaan negeri sebagai pemegang saham, namun sehingga kini tiada maklumat jelas diberikan oleh FELDA.

Ahmad menegaskan bahawa kritikan kononnya kerajaan negeri bertindak sewenang-wenangnya adalah tidak berasas. Tindakan yang diambil berpandukan undang-undang dan bertujuan mempertahankan hak negeri serta kepentingan rakyat yang sepatutnya menerima manfaat daripada pembangunan tanah tersebut.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post