Advertisement

Latest News

Danok bukan destinasi pelacuran

By KopiO - Rabu, 22 Jun 2011

IA merupakan sebuah pekan kecil yang kurang dikenali ramai yang terletak di sempadan Malaysia dan Thailand. Namun sebenarnya ia adalah syurga membeli-belah kerana barang-barang yang dijual boleh dianggap lebih murah daripada yang terdapat di Petaling Street, Kuala Lumpur.


PULUT ayam merupakan makanan popular dalam kalangan pelancong yang mengunjungi Pekan Danok, Thailand. Pulut tersebut dimakan dengan ayam goreng serta sos dan dijual mengikut saiz ayam.
Itulah Danok, sebuah pekan kecil di Thailand setelah melepasi Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Apa sahaja yang anda ingini seperti pakaian, seluar ataupun beg daripada pelbagai jenama terkenal seperti Louis Vuitton, Coach atau Prada semuanya ada di sini.

Harga? Ia jauh lebih murah berbanding di butik terkenal Kuala Lumpur, malah lokasi beli-belah di Petaling Street.

Selain sebagai pusat beli-belah, Danok, sebuah pekan kecil ala-ala pekan koboi ini juga adalah syurga makanan.

Makan pulut ayam

Kepada para penggemar pulut, Danok adalah destinasinya. Kita biasa dengan juadah pemanis mulut seperti pulut mangga dan pulut durian, begitu juga dengan pulut kuning yang dimakan dengan rendang ayam. Tetapi di Danok ada sesuatu yang lebih istimewa. “Kalau ke Danok, mesti cuba pulut ayam,” kata seorang kenalan.

Tetapi, pernahkah kita mendengar ayam goreng dimakan dengan pulut? Mungkin ia agak pelik bagi segelintir daripada kita, tetapi itulah makanan yang paling enak di pekan Danok.

“Setiap hujung minggu, saya dan keluarga berkunjung ke Danok semata-mata untuk makan pulut ayam. Rasanya sungguh sedap dan menu itu tidak ada di tempat lain,” kata seorang pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai Kamarul.

Di sepanjang jalan menuju ke pekan Danok, pengunjung dihidangkan dengan pemandangan wanita yang sibuk melayan pelanggan membeli pulut ayam di gerai-gerai kecil mereka. Dijual mengikut saiz ayam, harganya yang paling mahal mencecah sehingga RM6 untuk satu hidangan.

Begitu juga dengan kemsom. Makanan Thai itu juga banyak terdapat di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kemsom adalah sejenis gulai persis masakan popular di Melaka iaitu asam pedas, namun rasanya lebih pedas, berwarna kekuning-kuningan dan dicampur rebung.

Keistimewaan kemsom di pekan Danok, ia menggunakan ikan puyu. Kepada masyarakat Melayu, rata-rata beranggapan ikan puyu boleh dijadikan ikan pekasam, perhiasan dan penghalang kuasa jahat.

Menurut pemandu pelancong Sulai Tour yang hanya mahu dikenali sebagai Anwar, sudah menjadi satu kemestian membawa pelancong yang menggunakan khidmat agensinya untuk menikmati masakan itu.

“Paling popular ialah kemsom yang dimasak dengan ikan puyu sebesar ikan tilapia. Selalunya, pelancong kurang berselera kerana rupanya yang mungkin kurang menarik. Tetapi, selepas menikmatinya, mereka terus memuji isinya yang enak dan lembut,” katanya yang bekerja selama enam tahun dengan Sulai Tour.

Jom cuba spa

Selain dikenali sebagai syurga membeli-belah dan makanan, pekan Danok turut menawarkan spa untuk wanita yang ingin memanjakan diri.

“Perkhidmatan yang ditawarkan sangat murah iaitu sekitar RM70, anda boleh mendapatkan perkhidmatan urut, lulur badan, mandi sauna dan mandi susu. Kalau di Sintok, Kedah, perkhidmatan seperti itu saja sudah mencecah ratusan ringgit,” katanya.

Bagaimanapun, sesetengah pelancong agak ragu-ragu dengan tawaran sedemikian tambahan pula Danok dikenali sebagai tempat yang menawarkan perkhidmatan seks.

Bagi mereka yang berkunjung ke Sintok, Kedah, singgah ke pekan Danok adalah satu kemestian.

Ia bagaikan satu perkara yang janggal jika anda ke Sintok tidak mengunjungi pekan Danok.

Sama ada menggunakan pengangkutan sendiri, mahupun menaiki bas dari Alor Setar ke Changlun dan menaiki teksi ke sana, pekan Danok tidak pernah sunyi daripada pelancong.

Seorang pelancong dari Melaka, Fatimah Wahab berkata, beliau akan berkunjung ke pekan Danok setiap kali melawat anaknya yang belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah.

“Dari Sintok ke pekan Danok hanya mengambil masa 15 minit sahaja. Kalau dari Alor Setar pula 45 minit. Ia merupakan sebuah tempat yang menarik. Lupakan sebentar mengenai kegiatan pelacuran di pekan Danok kerana ia sebenarnya adalah sebuah lokasi yang menawarkan pelbagai barangan yang kita ingini.

“Saya ke sana kerana mahu melihat pemandangan gajah di atas jalan raya,” katanya. –Bernama

Follow our blog on Twitter, become a fan on Facebook. Stay updated via RSS

0 ulasan for "Danok bukan destinasi pelacuran"

Leave a Reply

Advertisement