Advertisement

Latest News

Hyundai Sonata YF tampil lebih bergaya dengan imej futuristik dan aerodinamik

By KopiO - Khamis, 5 Julai 2012


SPORTY...Hyundai Sonata YF direka lebih futuristik dan aerodinamik.
Walaupun belum mampu menyaingi jenama dari Jepun seperti Honda dan Toyota, namun pengeluar kenderaan yang berpangkalan di Korea Selatan, Hyundai Motor Company dilihat semakin mengukuh dan mampu menggoyahkan dominasi jenama tertentu dalam kelasnya.

[Lihat koleksi gambar bawah artikel]

Langkah ke arah meletak jenama Hyundai sebaris dengan jenama lain, syarikat telah memperkenal segmen D melalui model Hyundai Sonata yang mula diperkenalkan pada tahun 2009.

Kini, selepas sudah memasuki generasi keenam, Hyundai Sonata semakin matang dari aspek penampilan kemewahan dan teknologi yang dimiliki model berkenaan. Model ini dilancarkan di Malaysia pada tahun 2010.

Jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya, model baru kereta Hyundai yang dikenali Sonata YF ini seakan-akan sudah berada dalam kelas yang berbeza. Daya tarikan utama yang ada pada sedan ini ialah reka bentuk luaran dan dalamannya. Berpaksikan kepada falsafah reka bentuk fluidic sculpture, binaannya dilihat sangat kemas dan kontemporari.

Hilang sudah imej konservatifnya. Diganti dengan rekaan yang futuristik dan aerodinamik. Lampu utamanya dipadankan bersama gril radiator lebar berwarna krom. Bahagian sisinya mengetengahkan garis tubuh yang kuat. Malah sekali pandang, reka bentuknya ia kelihatan seperti sebuah model coupe.

Imej sporty

Rekaan lampu belakangnya juga menarik. Imej sporty sebuah Sonata diserlahkan menerusi penggunaan rim aloi bersaiz 17 inci. Bagi menampakkan roda itu lebih besar, wheel arch dibesarkan untuk mengurangkan jarak antara tubuh kenderaan dengan tayarnya.

Sonata mengaplikasikan skema warna hitam untuk ruang dalamannya. Kokpit itu menggabungkan penggunaan plastik keras dan lembut bagi membuatkannya sedap dipegang. Konsol tengahnya menempatkan butang kawalan unit audio dan pendingin hawa yang mudah dioperasi. Sebaik enjin dihidupkan, lampu latar berwarna biru akan menyala.

Tempat duduk yang dibalut dengan kulit berwarna hitam itu selesa untuk perjalanan yang jauh. Bagi memudahkan pemandu, ia boleh dilaras secara elektrik mengikut keselesaan. Ketika memandu, paparan meternya mudah dibaca. Sesekali perkataan eco akan muncul apabila anda memandu dalam keadaan yang menjimatkan bahan api.

Mampu menghasilkan kuasa sehingga 178ps

Model baru ini telah dilengkapi dengan dua varian enjin, 2.0L dan 2.4L. Bagi enjin 2.0L, ia mampu mengeluarkan kuasa sehingga 165ps @ rpm 6200 manakala 2.4L boleh mengeluarkan kuasa sehingga 178ps @ 6000 rpm. Ia tidak berdepan sebarang masalah untuk memecut atau bergerak dari kedudukan statik. Dengan 86 peratus daripada kuasa torknya yang berjumlah 229Nm itu mampu diperoleh ketika jarum rpm hanya berlegar pada takat 4,00 rpm.

Enjin dual CVVT aluminium sepenuhnya, Theta II series itu dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Bagi sesiapa yang mahu mengawal sendiri kedudukan gearnya, kawalan Hyundai H-Matic yang eksklusif itu membolehkan anda berbuat demikian.

Pesaing jenama mewah lain

Dengan harga RM163,888 (di atas jalan dan insurans), Sonata menjadi pesaing kepada model Honda Accord, Toyota Camry dan Mazda6. Terdapat lima warna untuk anda pilih sama ada putih, perak, merah, biru atau hitam.

Hyundai Sime Darby menawarkan dua varian enjin iaitu 2.0 dan 2.4 liter. Kedua-duanya hadir bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 300,000 kilometer (yang mana tiba dahulu).

Koleksi gambar Hyundai Sonata YF
[Klik gambar untuk zoom atau paparan lebih jelas]

Follow our blog on Twitter, become a fan on Facebook. Stay updated via RSS

0 ulasan for "Hyundai Sonata YF tampil lebih bergaya dengan imej futuristik dan aerodinamik"

Leave a Reply

Advertisement