Manusia pertama ke bulan Neil Armstrong dikebumi di Ohio
By KopiO - Ahad, 2 September 2012
Manusia pertama yang menjejak kaki ke bulan, Neil Armstrong yang meninggal dunia pada minggu lepas telah pun dikebumikan di Cincinnati, Ohio, semalam.
Armstrong dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi prosedur kardiovaskular pada usia 82 tahun oleh portal News Channel 5.
Beliau dilaporkan media telah menjalani pembedahan jantung awal Ogos lalu selepas doktor mendapati saluran jantungnya tersumbat.
Beliau dan rakan angkasawan yang menaiki Apollo 11, Buzz Aldrin mendarat di bulan pada 20 Julai 1969 yang mencatat satu sejarah hebat serta mendapat tontonan ratusan juta penduduk dunia.
Dilahirkan di Wapakoneta, Ohio pada 5 Ogos 1930, Armstrong mempunyai minat mendalam terhadap kapal terbang dan bekerja di sebuah lapangan terbang ketika remaja.
Beliau mengambil kursus penerbangan pada usia 15 tahun dan mendapat lesen juruterbang pada hari lahirnya yang ke-16. Sebagai juruterbang AS, beliau melakukan 78 misi penerbangan pada Perang Korea.
Beliau mempelajari bidang Kejuruteraan Penerbangan di Universiti Purdue, Indiana dan menyambung pengajian dalam Sarjana Kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti Southern California.
Selepas berkhidmat sebagai juruterbang tentera laut pada 1949 hingga 1952, Armstrong menyertai agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pada 1955.
Beliau bertugas sebagai jurutera, juruterbang ujian, angkasawan dan pentadbir untuk NASA dalam tempoh 17 tahun. Selepas bersara daripada NASA pada 1971, Armstrong menjadi tenaga pengajar dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa di Universiti of Cincinnati hampir 10 tahun.
Beliau turut dilantik sebagai lembaga pengarah di beberapa syarikat termasuk Lear Jet, United Airlines dan Marathon Oil
Follow our blog on Twitter, become a fan on Facebook. Stay updated via RSS
0 ulasan for "Manusia pertama ke bulan Neil Armstrong dikebumi di Ohio"