Norway kini tinggal selangkah lagi untuk menempah slot ke Piala Dunia buat pertama kali sejak 1998 selepas kemenangan selesa ke atas Estonia. Dua gol masing-masing daripada Erling Haaland dan Alexander Sorloth memastikan mereka menang bergaya dan kekal di puncak Kumpulan I dengan rekod sempurna, tujuh kemenangan daripada tujuh perlawanan.
Mereka kini tiga mata di hadapan Itali, dengan perbezaan jaringan yang jauh lebih baik. Itali pula hanya berjaya menewaskan Moldova 2-0 pada minit-minit akhir, sekali gus menangguhkan pengesahan rasmi kelayakan Norway.
Pada awalnya, Norway bergelut memanfaatkan peluang di babak pertama, namun Sorloth memecah kebuntuan sebaik separuh masa kedua bermula dengan dua tandukan pantas. Haaland kemudian menyusul dengan dua gol, satu tandukan, satu lagi rembatan padu untuk memastikan kemenangan mutlak.
Estonia sempat merapatkan jurang melalui Robi Saarma, tetapi ia sekadar gol saguhati. Dengan satu perlawanan berbaki, Norway kini hanya menunggu masa untuk mengesahkan kemaraan bersejarah mereka ke pentas dunia.
