Cristiano Ronaldo Umum Piala Dunia 2026 Jadi Pentas Terakhir Sebelum Bersara


Bintang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo, mengesahkan bahawa Piala Dunia 2026 bakal menjadi kejohanan besar terakhir dalam karier gemilangnya sebelum bersara daripada bola sepak profesional.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Ronaldo, 40, memberi bayangan jelas mengenai tempoh persaraannya yang dijangka berlaku dalam tempoh “satu atau dua tahun lagi”. Beliau menyatakan keinginan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga selepas menamatkan perjalanan panjangnya di dunia bola sepak.

Saya benar-benar menikmati setiap detik ketika ini. Dalam bola sepak, apabila usia meningkat, masa berlalu dengan cepat. Saya masih berasa bertenaga dan tajam, tetapi secara jujur, ‘tidak lama lagi’ bagi saya mungkin dalam satu atau dua tahun lagi,” katanya sambil berseloroh melalui satu sidang video semasa forum global di Arab Saudi.

Ronaldo yang kini bersama Al-Nassr di Arab Saudi telah melanjutkan kontraknya hingga tahun 2027. Beliau juga menyasarkan untuk menamatkan kariernya dengan penampilan di Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico. Satu-satunya trofi utama yang masih belum dimilikinya.

Sudah tentu, Piala Dunia 2026 akan jadi yang terakhir. Saya akan berusia 41 tahun ketika itu. Saya sudah berikan segalanya untuk bola sepak, 25 tahun penuh dedikasi, banyak rekod dan kejayaan bersama kelab serta negara,” jelasnya.

Dengan lebih 950 gol sepanjang karier dan 143 gol antarabangsa, Ronaldo kekal sebagai antara pemain paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak moden dan bakal menutup tirai kariernya di pentas paling berprestij dunia.

Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama