Advertisement

Latest News

Kereta 'bakal calon' kena kunci tayar kerana kesalahan parkir

By KopiO - Selasa, 2 April 2013

Kenderaan milik seorang pemimpin parti politik antara yang dikenakan tindakan kunci saman oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam Ops Clamping di USJ 10, pagi semalam.

Pemimpin parti yang meletakkan kereta bukan di petak parkir itu mendakwa dirinya 'bakal calon' bagaimanapun akur dikenakan tindakan dan berjanji membuat pembayaran kompaun di Ibu Pejabat MPSJ.

Dalam operasi semalam, 29 pemilik kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, 15 pemilik dikenakan tindakan Notis Tawaran Kompaun (NTK), dua kenderaan ditunda, 10 dikenakan tindakan kunci saman manakala dua lagi dikenakan tindakan ‘clamping’.

Menurutnya, masalah pemandu yang meletakkan kenderaan sesuka hati di kawasan komersial yang sesak termasuk di SS15 dan SS16 bukanlah masalah baru.

Ia katanya, berlarutan namun MPSJ merancang mencari pendekatan untuk menyelesaikan masalah dalam jangka panjang.

Beliau berkata, MPSJ sudah memperkenalkan pelbagai alternatif termasuk menggalakkan pemilik meletakkan kereta mereka di kawasan parkir bertingkat terletak di kawasan USJ 10.

“Kita juga memperkenalkan sistem parkir sejam namun ramai pemilik premis dan pekerja yang bekerja di kawasan komersial mengambil sikap pentingkan diri.

"Pengunjung yang mungkin hanya mengambil masa sejam dua tidak mempunyai peluang meletakkan kenderaan mereka di petak parkir menyebabkan mereka parkir merata-rata,” katanya.

Rasip berkata, tindakan penguatkuasaan diambil bukan untuk mendera pemilik dan pemandu kenderaan namun untuk mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan.

Katanya, anggota penguat kuasa sentiasa memantau keadaan lalu lintas trafik di lokasi dan mengambil tindakan mengeluarkan kompaun untuk mendidik pemandu supaya tidak meletakkan kenderaan hingga mengganggu lalu lintas dan menyebabkan halangan.

“Mereka yang dikenakan tindakan NTK, ‘clamping’ dan kunci kompaun bakal berdepan denda maksimum RM80.

“Kenderaan yang ditunda pula akan dikenakan kompaun termasuk kos simpanan dan kos perkhidmatan antara RM112 hingga RM142 mengikut tempoh kenderaan mereka di simpan di Depoh Kenderaan,” katanya.

Turut sama dalam operasi semalam, Ahli Majlis MPSJ, Dr Loi Kheng Min.

Terdahulu, MPSJ memaklumkan sebanyak 25,270 kompaun kesalahan lalu lintas dikeluarkan sejak Januari lalu berbanding 27,643 kompaun pada tempoh yang sama tahun lalu.

Kenderaan yang ditunda sejak awal Januari adalah sebanyak 173 manakala yang berdepan tindakan ‘clamping’ sebanyak 384 kenderaan.

--Sinarharian.com.my

Follow our blog on Twitter, become a fan on Facebook. Stay updated via RSS

0 ulasan for "Kereta 'bakal calon' kena kunci tayar kerana kesalahan parkir"

Leave a Reply

Advertisement